Dua rakan didakwa bunuh pekerja kolam ikan

 

Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dakwaan membunuh seorang lelaki di sebuah kolam ikan dekat Bidor pada September tahun lalu.

Tertuduh, N Mageswaran, 31, dan M Anbu, 30, mengangguk faham sejurus pertuduhan dikemukakan kepada mereka secara serentak di hadapan Majistret, Siti Hanum Mohmad Sah.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa membunuh D Gunasealan, 29 dalam kejadian di kolam ikan Kampung Poh, Bidor antara jam 2 pagi hingga 7.30 pagi pada 13 September tahun lalu.

Keduanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria, manakala Anbu diwakili peguam bela, J Gunamalar, sementara Mageswaran belum diwakili.

Majistret menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik.

Tertuduh kedua, Anbu turut dibenarkan oleh majistret bagi mendapat rawatan perubatan berikutan mengalami sakit kaki.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes culik dan bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditanam dalam kebun kelapa sawit di Bidor, Tapah pada tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, dilaporkan berkata, mangsa pembunuhan itu diserang dan dilarikan oleh dua suspek ketika berada di kolam ikan dekat Kampung Poh, Bidor.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker