Ragnick pertahan reaksi Ronaldo
Ralf Rangnick mempertahankan Cristiano Ronaldo selepas reaksi bintang itu ketika dikeluarkan membayangi kemenangan 3-1 di Brentford.
Skuad kendalian Rangnick diselamatkan oleh persembahan cemerlang penjaga gol David de Gea di babak pertama yang menghalang kemaraan Brentford sebelum United menemui sentuhan pada babak seterusnya.
Anthony Elanga meletakkan United di depan selepas rehat sebelum Mason Greenwood dan Marcus Rashford memastikan kemenangan pertama mereka dalam tiga aksi Liga Perdana Inggeris.
Namun reaksi Ronaldo ketika dikeluarkan Rangnick pada minit ke-71 – menggelengkan kepala sambil berkata sesuatu kepada pengendali itu menjadi tumpuan pada perlawanan berkenaan.
Rangnick pada awalnya tidak mempedulikan Ronaldo tetapi kemudian duduk di sebelahnya di bangku simpanan sambil menepuk kaki penyerang Portugal itu.
“Itu perkara biasa, dia seorang penyerang dan mahu menjaringkan gol. Dia baru pulih daripada kecederaan ringan dan bagi saya ia penting untuk memikirkan perlawanan kami seterusnya dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Kami sudah mendahului 2-0, sama seperti ketika di Aston Villa. Saya memutuskan untuk mempertahankan kelebihan itu kali ini dan ia keputusan tepat untuk meletakkan lima pertahahan,” kata Rangnick.
Percaturan itu sekurang-kurangnya berjaya mengelak satu lagi keputusan memalukan selepas tewas kepada Wolves dan diikat Villa dalam dua perlawanan liga sebelumnya.
Brentford bangkit meledak gol tunggal mereka lima minit sebelum tamat permainan menerusi Ivan Toney.
United kini di tangga ketujuh, dua mata di belakang kelompok empat teratas dalam usaha mereka memburu tempat di Liga Juara-Juara Eropah musim depan. – AFP