Barcelona tersingkir saingan Piala Raja Sepanyol

 

Barcelona tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol selepas jaringan pertama Ferran Torres untuk kelab gagal mengelak kekalahan 3-2 di tangan Athletic Bilbao yang berlanjutan sehingga masa tambahan.

Barca bertambah malang dengan kecederaan Ansu Fati yang terpaksa dikeluarkan pada babak kedua aksi dan San Mames.

Fati hanya kembali awal bulan ini selepas dua bulan rehat akibat masalah hamstring, dan sebelum itu kembali pada September selepas 10 bulan rehat akibat kecederaan lutut.

Sekiranya sekali lagi terpaksa berehat panjang, ketiadaan Fati akan menjejaskan peluang Barca untuk memburu tempat dalam kelompok empat teratas La Liga. Pedri juga terpaksa dikeluarkan ketika masa tambahan.

Real Madrid turut memerlukan tambahan 30 minit untuk menewaskan Elche 2-1, dengan Eden Hazard meledak gol kemenangan selepas kad merah Marcelo memaksa pendahulu La Liga itu bangkit dengan 10 pemain.

Isco menjaringkan gol penyamaan selepas Gonzalu Verdu meletakkan Elche di depan.

“Mungkin Hazard dan Isco berhak untuk bermain lebih kerap. Saya tahu saya boleh harapkan mereka,” kata pengendali Madrid Carlo Ancelotti.

Harapan Barca untuk menyertai Real Madrid, Real Sociedad, Mallorca, Rayo Vallecano, Cadiz, Valencia dan Real Betis di suku akhir berkecai dengan Athletic Bilbao melengkapkan kelompok lapan terakhir itu.

Barca memenangi kejohanan itu musim lalu selepas menewaskan Bilbao dan ia peluang terbaik buat mereka untuk memenangi trofi musim ini selepas tercicir daripada saingan kejuaraan La Liga dan ditewaskan oleh Madrid dalam Piala Super Sepanyol minggu lalu.

Kini harapan terakhir mereka untuk menamatkan musim dengan kilauan trofi adalah menerusi Liga Europa.

– AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker