Harimau Malaya tidak ancam manusia – PERHILITAN

 

Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni adalah satu-satunya subspesies harimau belang yang masih wujud di dunia dan ia hanya terdapat di Malaysia.

Susulan kejadian seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai, di Gua Musang pada 7 Januari lalu, terdapat persepsi segelintir masyarakat menganggap Harimau Malaya akan menyerang dan membaham manusia apabila terserempak.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, yang berkata haiwan itu tidak akan mengancam manusia kerana ia bukanlah sifat sebenar ‘Pak Belang’.

“Kalau ikut ‘perangai asal’ Harimau Malaya ini ia tidak akan menghampiri dan lari apabila terserempak serta hidu bau manusia.

“Malah dari segi pergerakan pula, ia bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan jarak 10 hingga 20 kilometer yang mana pergerakannya agak jauh dan luas,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mohamad Hafid berkata, sumber makanan utama Harimau Malaya adalah hidupan liar di dalam hutan ialah babi hutan, rusa dan kijang.

“Kebiasaannya Harimau Malaya ini akan menyerang manusia jika diancam seperti mengganggu atau memburu harimau atau anaknya, kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah.

“Harimau ini tidak sesuka hati menyerang atau baham manusia jika tidak diganggu oleh manusia,” katanya.

Mohamad Hafid berkata, sebanyak 63 aduan diterima PERHILITAN Kelantan berhubung harimau sejak 2015 hingga 2021 dan tiada kes kematian manusia akibat dibaham harimau direkodkan dalam tempoh tersebut.

“Antara aduan diterima daripada penduduk seperti terserempak dan bunyi ngauman harimau dan paling tinggi aduan dicatatkan pada 2017 dengan merekodkan 18 aduan, diikuti 2020 (11 aduan) dan 10 aduan tahun lalu.

“Namun, dalam tempoh berkenaan hanya seekor Harimau Malaya yang ditangkap iaitu pada tahun lalu di Kampung Badak dekat Pos Bihai, di Gua Musang dan sudah diserahkan kepada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) PERHILITAN, Datuk Fakhrul Hatta Musa dalam program bual bicara terbitan sebuah stesen televisyen baru-baru ini, berkata sejak dari 2011 hingga 2020 sebanyak 37 kes membabitkan Harimau Malaya mati akibat aktiviti pemburuan haram.

“Antara rampasan diperoleh membabitkan empat Harimau Malaya yang mati, empat masih hidup, 355 keping kulit harimau, 42 bahagian badan telah dibungkus, 19 rangka tulang, 213 gigi taring dan 546 kuku haiwan tersebut.

“Bagaimanapun, pada tahun lalu tiada kes membabitkan aktiviti pemburuan direkodkan,” katanya.

Selain itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula tampil menjelaskan dakwaan sesetengah individu mengatakan harimau berkeliaran di penempatan Orang Asli di Gua Musang dua minggu lalu, berpunca daripada aktiviti pembalakan adalah tidak benar dan tidak boleh dikaitkan sebagai faktor utama.

“Harimau keluar dari kawasan habitat berkemungkinan disebabkan beberapa faktor lain termasuk usia mamalia itu sendiri yang sudah tua dan PERHILITAN sedang menjalankan tugas untuk mengesan hidupan liar ini.

“Setakat ini, juga tiada aktiviti pemburuan haram terhadap Harimau Malaya di Kelantan dilakukan setakat ini kerana operasi rondaan penguatkuasaan dan pengawalan yang dijalankan oleh agensi berkaitan dalam membendung sebarang kegiatan pencerobohan dan aktiviti pemburuan haram haiwan ini,” katanya di pejabatnya.

– BERNAMA

Menteri mengarut, dakwa Malaysia ada singa (video)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker