Motosikal bertembung, Azhan bedah tulang belikat

 

Pelakon, Azhan Rani, 45, pecah tulang belikat dan retak bahu serta rusuk akibat kemalangan ketika menunggang motosikal menuju ke lokasi penggambaran di Rawang, Ahad lalu.

Azhan berkongsi detik cemas ketika melalui Jalan Templer, apabila dua penunggang motosikal yang didakwa secara tiba-tiba memasuki laluannya dan membuat pusingan ‘U’, hingga mereka bertembung.

Lebih menggerunkan, dakwa Azhan, dalam kekalutan itu, dua pemandu lori pantas mengelak dan menghentikan kenderaan. Jika tidak, pasti keadaan menjadi lebih buruk.

Azhan yang berkongsi kemalangan menimpanya melalui entri di Instagram (IG), pantas mengundang simpati peminat dan rakan artis yang mendoakan agar aktor serba boleh itu segera sembuh.

Pelakon drama rantaian Nur ini berkongsi perkembangan dirinya yang selamat menjalani pembedahan tulang belikat di sebuah pusat perubatan swasta di Rawang, petang semalam.



“Saya hendak kemas kini. Insya-Allah tengahari esok (semalam), saya akan dibedah untuk memasukkan plat pada bahagian scapula (belikat) yang pecah.

“Doktor beritahu proses akan mengambil masa antara tiga hingga empat jam. Kalau ditanya perasaan saya, memang cuak.

“Tetapi sahabat sebilik ketika menunaikan umrah adalah pakar ortopedik Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Nizam Razli menyatakan prosedur itu tidak menakutkan. Jadi, saya cuba kuatkan diri. Mohon maaf pada semua atas salah dan silap selama ini.

“Terima kasih atas doa semua. Terima kasih juga kepada semua yang menjaga saya di hospital dengan baik. Terima kasih atas keprihatinan dan kasih sayang semua,” kata pelakon berasal dari Tanjong Karang, Selangor ini.

Dalam pembedahan itu, doktor difahamkan memasukkan dua plat kepada tulang belikat Azhan yang pecah. Bagi anggota lain yang cedera, Azhan perlu menjalani fisioterapi.

Azhan yang tidak dibenarkan melakukan kerja berat selama beberapa bulan sehingga pulih sepenuhnya, memohon maaf kerana tidak dapat melayan panggilan telefon dan mesej.

“Sekali lagi maaf kerana terlalu banyak urusan harus diselesaikan. Tidak dapat menjawab dan membalas semua panggilan dan mesej.

“Insya-Allah, ada kelapangan saya akan kemas kini secara umum… Mohon ampun dan maaf,” katanya.

Dalam entri berasingan di IG, Azhan melafazkan kesyukuran kerana diberi peluang untuk bernafas.

Azhan mendakwa, jika tidak kerana ketangkasan pemandu lori yang menghentikan kenderaan itu, dia tidak tahu apa bakal berlaku kepadanya.

“Terima kasih kepada dua pemandu lori yang menghentikan kenderaan dan tidak melanggar saya. Terima kasih juga kepada Muhammad Firdaus dan sesiapa saja yang membantunya pada hari kejadian,” katanya.

Azhan juga memohon maaf kepada dua penunggang motosikal terbabit kerana tidak sengaja meninggikan suara selepas kejadian itu.

Selain itu, Azhan menasihati mereka agar lebih berhati-hati ketika menunggang motosikal.

“Kepada dua adik yang menunggang ‘kapcai’, bersembang dan tidak memandang ke depan, tiba-tiba masuk ‘lane’ saya untuk membuat pusingan ‘U’, semoga anda tidak apa-apa.

“Maaf abang tinggi suara dalam ambulans tempoh hari. Mohon jangan bawa motosikal macam itu lagi. Kita sama-sama bersyukur Allah bagi peluang kita hidup. Maaf juga buat motosikal awak hancur,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker