Seorang maut kereta terbabit nahas dua kenderaan

 

Pemandu Proton Iswara maut selepas keretanya terbabit nahas dengan sebuah kenderaan lain sebelum terbabas ke dalam parit di Kilometer 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

Lelaki berkenaan, D Sivabalan, 50, dari Jalan Stesen, di sini, yang mengalami cedera parah dalam insiden kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata kemalangan membabitkan kereta dipandu mangsa dan sebuah PROTON Exora dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dalam perjalanan menghala Kuala Lumpur.

Hasil siasatan awal, katanya, PROTON Exora berkenaan dipercayai dilanggar kereta dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan pada bahagian kanan belakang.

“Kereta dipandu mangsa kemudian terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan menuju arah Kuala Lumpur, namun pemandu PROTON Exora tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker