WARISAN teliti tanding PRN Johor

 

Parti Warisan Sabah (WARISAN) masih meneliti sama ada akan membuat kemunculan pertama bertanding di Semenanjung menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri itu, semalam.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata masih awal untuk menentukan perkara itu memandangkan DUN Johor baru saja dibubarkan dan kini menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diteliti parti dan sudah dimaklumkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selaku rakan politik WARISAN di Semenanjung.

“Kita akan lihat dulu kerana kita baru terima maklumat pembubaran DUN Johor, kita akan teliti secara mendalam.

Saya juga sudah berhubung dengan Saddiq (Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan memaklumkan perlu ada persediaan kalau kita putuskan untuk bertanding,” katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam WARISAN, di sini, malam tadi.

WARISAN mengembangkan sayap ke Semenanjung bermula akhir tahun lalu dengan tumpuan di beberapa negeri yang dilihat berpotensi berdasarkan kehadiran ramai masyarakat Sabah dan Sarawak termasuk di Johor.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, berkata WARISAN mempunyai penyokongnya tersendiri terutama di beberapa kawasan di Johor seperti di Pasir gudang yang ada ramai penduduk dari Sabah dan Sarawak, begitu juga di Johor Bahru.

“Namun kita tidak hanya bergantung dengan rakyat dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

DUN Johor dibubarkan semalam selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran untuk memberi laluan kepada PRN.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker