Polis siasat wanita larikan wang lebih setengah juta

 

Polis menyiasat dakwaan kakitangan Perbadanan Pengurusan Kondominium OG Height, di sini, yang menghilangkan diri sejak September 2020 selepas melarikan wang pengurusan lebih setengah juta ringgit.

Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields membuka kertas siasatan kes pecah amanah membabitkan suspek wanita yang juga pengurus bangunan selepas menerima laporan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata beberapa saksi kes itu sudah dipanggil bagi membantu siasatan dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengeluarkan resit penyelenggaraan penduduk berbeza dengan jumlah kemasukan wang kutipan ke dalam akaun syarikat sejak Julai 2016 hingga September 2020.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan jumlah kerugian sebenar dan dokumen lengkap dari pihak pengurusan. Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini. Maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur(03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi Badan Pengurusan Kondominium OG Heights, Alvin Mah, dilaporkan berkata suspek berusia 64 tahun hilang selepas memaklumkan perlu berjumpa doktor pada 25 September 2020.

Laporan polis mengenai kehilangan wanita terbabit dibuat badan pengurusan lima hari kemudian di IPD Brickfields selepas wanita itu gagal dihubungi.

Selain dipercayai melakukan pecah amanah membabitkan dana pengurusan bernilai RM150,000, wanita terbabit juga dipercayai melarikan beberapa fail milik badan pengurusan ketika menghilangkan diri.

Lebih mengejutkan pemeriksaan sebuah firma perakaunan forensik mendapati, nilai sebenar dana yang hilang ialah RM582,125.05 sepanjang 2017 hingga 2020.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker