Axiata, XL beli saham PT Link bernilai RM2.55 bilion

 

Axiata Group Bhd dan PT XL Axiata Tbk akan bersama-sama mengambil alih 66.03 peratus kepentingan ekuiti serta melaksanakan tawaran tender mandatori bagi baki 33.97 peratus saham dalam PT Link Net Tbk dengan jumlah pembelian RM3.86 bilion bagi 100 peratus pegangan.

Pihak-pihak terbabit hari ini memeterai perjanjian pembelian pembelian saham bersyarat (SPA) bagi tujuan berkenaan dan bersetuju membeli ekuiti Link Net pada 4,800 rupiah sesaham biasa daripada Asia Link Dewa Pte Ltd (ALD) dan PT First Media Tbk (FM).

Ini diterjemahkan kepada nilai kira-kira RM3.86 bilion (13.21 trilion rupiah) bagi keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Link Net, kata kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama, semalam.

Di bawah terma SPA, Axiata Investments (Indonesia) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Axiata dan XL Axiata masing-masing akan membeli 46.03 peratus dan 20 peratus daripada gabungan kepentingan ekuiti 66.03 peratus dalam Link Net yang dipegang ALD dan FM dengan harga RM2.55 bilion (8.72 trilion rupiah).

Axiata Investments Indonesia kemudiannya perlu melaksanakan tawaran tender mandatori untuk membeli baki 33.97 peratus saham Link Net mengikut keperluan kawal selia di Indonesia.

Cadangan pengambilalihan dan cadangan tawaran tender mandatori itu dijangka selesai pada suku ketiga 2022.

Kumpulan itu berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka mewujudkan sinergi ketara bagi Link Net dan XL Axiata menerusi gabungan kedudukan mereka dalam perkhidmatan komunikasi tanpa wayar, berkongsi rangkaian tetulang serta penghantaran dan liputan pelanggan yang meluas di Indonesia.

Ditambah dengan tawaran enterpris daripada XL Axiata termasuk sambungan mudah alih, Link Net berpeluang untuk memanfaatkan pasaran enterpris yang sedang berkembang pesat.

Selain itu, Axiata akan mendapat manfaat daripada profil aliran tunai kukuh Link Net dan pembayaran dividen konsisten, serta mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada pemain digital utama di rantau ini dengan peningkatan pendedahan kepada purata hasil bagi setiap pengguna yang tinggi dan pasaran jalur lebar tetap yang berpotensi besar serta sedang pesat berkembang.

“Selain menggandakan segmen pertumbuhan tinggi di satu daripada pasaran utama kami, pelaburan kami dalam Link Net adalah selaras dengan aspirasi Axiata untuk menyokong inkulsi digital ketika perniagaan di Asia sedang mempercepatkan pendigitalan,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris.

Sementara itu, Presiden Direktur dan Ketua Pegawai Eksekutif XL Axiata, Dian Siswarini berkata syarikat tersebut sedang bersiap sedia untuk merealisasikan visinya menjadi pengendali telekomunikasi utama di Indonesia.

“Sinergi yang akan dimanfaatkan menerusi kerjasama dengan Link Net menjadikan ia cadangan yang menarik memandangkan peluang untuk menggabungkan kekuatan dalam kesalinghubungan mudah alih, jalur lebar tetap dan kandungan,” kata Dian.

-BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button