Wanita Iran tonton perlawanan di stadium buat kali pertama

 

Wanita Iran menonton perlawanan bola sepak di stadium membabitkan pasukan kebangsaan pada Khamis, buat pertama kali dalam tempoh hampir tiga tahun selepas kebenaran diberikan.

“Ia sempurna. Sekarang suara kami hilang,” kata dua pelajar wanita yang mahu dikenali sebagai Kimia dan Hasti yang membawa bendera kebangsaan.

Republik Islam itu secara umumnya melarang penonton wanita ke stadium bola sepak dan stadium lain selama hampir 40 tahun.

Golongan ulama yang memainkan peranan utama dalam membuat keputusan di negara itu berpendapat wanita perlu dilindungi daripada persekitaran golongan maskulin.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September 2019 mengarahkan Iran untuk membenarkan akses wanita ke stadium tanpa sekatan dan jumlah berdasarkan permintaan tiket.

Sebulan selepas itu, golongan wanita dibenarkan untuk menghadiri perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Iran dan Kemboja di Stadium Azadi.

Untuk perlawanan pertama sejak itu 2,000 daripada 10,000 tiket diperuntukkan kepada wanita pada Khamis, untuk menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Iran dan Iraq, lapor agensi berita ISNA.

“Saya beli tiket secara dalam talian dan dapat SMS mengesahkannya,” kata seorang wanita bekerja sebagai jurutera awam berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mahya.

“Jika kita menang, kita akan pergi dan meraikan kejayaan itu di jalanan,” katanya.

Impiannya termakbul apabila Iran berjaya menumpaskan Iraq dengan keputusan 1-0. Keadaan itu menyaksikan trafik sesak teruk, hiruk-pikuk dengan bunyi hon kereta dan hadirin meraikan kejayaan itu di seluruh stadium.

“Saya sangat gembira. Ini adalah kali pertama saya hadir ke perlawanan di Stadium Azadi,” tambah Mahya yang memakai tudung berwarna kelabu sambil membawa bendera kebangsaan berwarna hijau, putih dan merah.

Golongan wanita masuk menerusi pintu masuk khas melalui tempat letak kereta yang dikawal oleh polis wanita yang memakai pakaian berwarna hitam dan lencana merah di lengan mereka.

“Saya harap suami berada di sisi saya tetapi mereka kata lelaki dan wanita dipisahkan,” kata seorang lagi penonton wanita, Golnaz Bahari, 24, yang membawa anaknya dan hon vuvuzela ke stadium.

Zon penonton wanita terletak di belakang gawang gol pasukan Iraq.

Sambil memakai kot tebal kerana cuaca sejuk, kelihatan peminat bola sepak Iran melukis warna di pipi mereka dan ada membawa bendera negara atau hon vuvuzela ke stadium.

– AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button