Serpihan Mirip Bahagian Badan Pesawat Ditemui Di Desaru

KOTA TINGGI – Polis sedang melakukan siasatan lanjut susulan penemuan objek menyerupai serpihan kapal atau kapal terbang di pesisir pantai sebuah hotel terkemuka di Desaru, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora yang mengesahkan penemuan terbabit berkata, serpihan berkenaan ditemukan pekerja hotel di Desaru itu kira-kira pukul 6 petang.

Katanya, polis menerima laporan daripada orang awam berkaitan penemuan objek tersebut semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh mengesahkan lagi berkenaan teori-teori berkaitan penemuan serpihan itu.

“Setakat ini, polis masih dalam siasatan lagi bagi mengetahui dan menentukan jenis serpihan yang ditemukan. Ia bagi menentukan sama ada ia ada kaitan dengan objek kapal terbang, kapal atau lain-lain komponen objek berkaitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, keadaan serpihan itu kelihatan seperti agak lama berada di perairan berkenaan.

Serpihan itu turut memiliki warna merah dan biru. Terdapat teori yang menyatakan ia mungkin peralatan daripada pesawat kipas kecil dan bukan daripada pesawat komersial.

Bagaimanapun ada juga pandangan menyatakan ia mungkin daripada serpihan bot yang karam dan lain-lain. – © Utusan Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker