‘Dah tahu dia tak boleh nyanyi, kenapa panggil?’
Penyanyi Datuk Hattan, 58, menyeru pihak penyiar TV supaya harus ada rasa bertanggungjawab untuk mengangkat industri hiburan ke tahap lebih bagus dan tinggi.
Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin merujuk keputusan memasukkan usahawan tular Ahmad Iqbal Zulkefli sebagai peserta program Big Stage 2022 yang bukannya menyanyi bagus.
“Apa yang cuba dilakukan (pihak penyiar)? Kalau ya pun nak rating, tak payah sampai begitu, banyak cara lain lagi.
“Takkanlah pihak produksi sewaktu sesi raptai tak tahu bagaimana persembahannya? Kamu tahu peserta itu tak boleh nyanyi? Kenapa kamu panggil juga?” katanya.
Penyanyi Rendang Tak Berbuah itu tidak menafikan gimik kejutan sebegitu memang memberi impak besar daripada segi pemasaran. Tapi, ia cukup memalukan untuk industri secara keseluruhannya.
“Ini seperti yang pernah saya cakap sebelum ini. Dalam program itu ada peserta dari Indonesia. Kalau orang Indonesia tengok beginilah kita punya (penyanyi) kualiti?
“Kasihan 11 (peserta) yang lain bertanding beria-ria. Hanya kerana ada satu atau dua juta pengikut, oh sudah layak? Walaupun persembahan standard begitu, punya sampah,” katanya.
Hattan turut terkilan kerana pertandingan yang diadili penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza itu sepatutnya dibuat selari dengan standard jauh lebih baik.
“Kita kena ada jati diri, ada maruah. Nyanyi, nyanyi juga, maruah sangat penting. Kepada pihak produksi, fikirlah secara waras sebelum buat keputusan untuk buat satu-satu programlah,” katanya.
Semalam, pengumuman Ahmad Iqbal menjadi peserta ke-12 di Big Stage mendapat kecaman ramai netizen. Apalagi nyanyiannya menerusi lagu Biarlah Bulan Bicara disifatkan terlalu teruk.
metro