Sharifah Sakinah berang dituduh ‘murtad’
Pelakon Sharifah Sakinah berang dituduh ‘murtad’ hanya kerana tidak menunjukkan bukti suaminya, Michael Hansen sudah memeluk agama Islam ketika mendirikan rumah tangga dengannya.
Menjawab dakwaan dihantar seorang individu dalam Instagram (IG), Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khairedi, 33, menjelaskan, keengganannya berkongsi status agama suami disebabkan mahu menghormati perasaan keluarga mentua.
“Kami tak muat naik bukti sebab tidak mahu mengharu-birukan keluarga mentua. Bayangkan, cuba anak awak tiba-tiba menukar agama, mau mak awak melentingkan?
“Nak sangat bukti, sila selak halaman sebelah. Terima kasih sudah mengharu-birukan keadaan.
“Saya sudah menjelaskan sebelum ini, jadi, tak perlulah nak mempersoalkan lagi. Tak perlu nak buruk sangka.
“Habis semua nak kena tunjuk bukti. Kami tak tunjuk sebab nak jaga hati keluarga di sebelah sana,” tulisnya.
Menerusi hantaran dimuat naik, semalam, pelakon drama Girlfriend Aku Dari Neraka ini turut berkongsi tangkap layar mesej berbaur sentimen agama.
Menerusi hantaran itu, Sakinah turut menyertakan foto kad perakuan memeluk agama Islam milik Michael atau nama Islamnya, Mikael Hansen, 43 yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor.
Jumaat lalu, adik kepada pelakon dan penyampai radio Sharifah Shahirah ini mengesahkan mereka sudah berkahwin.
Berkongsi perkara itu dalam IG, Sakinah bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai perkahwinannya dengan lelaki berstatus duda itu.
BHOnline