PM Libya selamat daripada cubaan membunuh

 

Perdana Menteri Libya, Abdulhamid al-Dbeibah terselamat daripada cubaan bunuh oleh beberapa individu yang didakwa menembak kenderaannya, kata sumber rapat dengan pemimpin itu.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika Abdulhamid pulang ke rumah, selain menyifatkan ia sebagai cubaan membunuh yang jelas, namun penyerang melarikan diri dan pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

Reuters bagaimanapun tidak melihat gambar, rakaman segera atau kesan kejadian itu mahu pun bercakap dengan saksi lain.

Jika disahkan, cubaan membunuh Abdulhamid boleh memburukkan lagi krisis kepemimpinan negara itu, selepas beliau berkata akan mengabaikan undian bagi menggantikannya yang dijadualkan Parlimen hari ini.

Pasukan tentera sudah menggerakkan lebih ramai anggotanya yang lengkap dengan peralatan di ibu negara sejak beberapa minggu lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan krisis politik sehingga boleh mencetuskan pertempuran.

Libya memiliki sedikit keamanan atau kestabilan sejak pemberontakan disokong NATO pada 2011, menentang Muammar Gaddafi dan berpecah antara puak berperang di timur dan barat negara itu pada 2014.

Abdulhamid pada Mac lalu, dilantik sebagai ketua Kerajaan Perpaduan Nasional (GNU) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertujuan menyatukan institusi negara yang berpecah-belah dan mengawasi perjalanan pilihan raya pada Disember, sebagai sebahagian daripada proses damai.

Puak bertelagah berebut jawatan selepas proses pilihan raya berantakan di tengah-tengah pertikaian peraturan, termasuk mengenai kesahihan pencalonan Abdulhamid sebagai Presiden selepas dia berikrar untuk tidak bertanding.

Parlimen, yang kebanyakannya menyokong pasukan tentera timur Libya semasa perang saudara, mengisytiharkan GNU tidak sah dan akan mengadakan undian pada hari ini bagi menamakan Perdana Menteri baharu untuk membentuk kerajaan lain.

Abdulhamid dalam ucapan minggu ini berkata, beliau hanya akan menyerahkan kuasa selepas pilihan raya dan penasihat PBB di Libya dan negara Barat berkata mereka terus mengiktiraf GNU.

Menurut kenyataan Parlimen sebelum ini, tiada pilihan raya akan diadakan tahun ini, selepas ia dan badan politik lain meminda sementara Perlembagaan negara, sekali gus mengecewakan ramai rakyat Libya yang sudah mendaftar untuk mengundi.

Tindakan Parlimen memilih Perdana Menteri baharu mungkin membawa keadaan kembali kepada sebelum kerajaan perpaduan Abdulhamid ditubuhkan, dengan pentadbiran selari berusaha memerintah Libya dari bandar berbeza.

Bagaimanapun, penganalisis berkata, ia mungkin tidak serta-merta mencetuskan kembali kepada perang saudara.

– REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker