Korea Selatan Akan Suntik Dos Keempat Vaksin Akhir Bulan Ini

SEOUL – Korea Selatan akan mula memberikan dos keempat vaksin COVID-19 menjelang akhir bulan ini, selain membekalkan jutaan kit ujian kendiri susulan penularan varian Omicron.

Varian itu menyebabkan kes harian mencatat rekod tertinggi, namun vaksinasi yang meluas dengan dos penggalak pertama sudah diberikan kepada 57 peratus daripada 52 juta populasinya, membantu mengurangkan kes kematian dan jangkitan serius.

Menteri Kesihatan Korea Selatan, Kwon Deok-cheol, berkata individu berisiko tinggi adalah kumpulan pertama yang akan menerima dos keempat, yang juga dos penggalak kedua.



“Kami merancang memberikan dos penggalak kepada mereka yang tinggal di rumah serta fasiliti penjagaan dan lain-lain yang mengalami pengurangan imunisasi, berikutan peningkatan jangkitan dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri mesyuarat tindak balas COVID-19, hari ini.

Sekurang-kurangnya 44.22 juta individu atau 86.2 peratus populasi Korea Selatan sudah lengkap divaksin.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) melaporkan 54,619 kes baharu COVID-19 di negara itu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di Korea Selatan kepada 1,405,246, selain 21 kematian menjadikan keseluruhan 7,102.



Susulan Omicron menjadi dominan bulan lalu, kerajaan Korea Selatan mula mengehadkan pelaksanaan ujian PCR kepada kumpulan berisiko tinggi, manakala individu lain perlu menjalani ujian antigen pantas menggunakan kit yang dijual di kedai, atau diberikan secara percuma di pusat kesihatan awam.

Deok-cheol berkata, kira-kira 30 juta kit ujian kendiri tambahan akan dibekalkan ke seluruh negara itu bulan ini untuk menepis dakwaan kekurangan bekalan itu.

Kerajaan Korea Selatan juga merancang menyediakan 190 juta kit ujian kendiri untuk bulan depan, iaitu dua kali ganda berbanding bekalan bulan ini.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button