AJL 36: Ernie Zakri dah jumpa penyanyi ganti, buat kejutan enggan dedahkan identiti

Penyanyi bersuara lantang, Ernie Zakri sudah menemui penggantinya membawakan lagu Boneka beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 pada 6 Mac depan.

Bakal melahirkan cahaya mata sulung, bulan ini, Ernie akan menjalani tempoh berpantang ketika AJL 36 sedang berlangsung.

Ernie meminta peminat bersabar menantikan siapakah penyanyi yang bakal membawakan lagu ciptaan Omar K, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh itu.

“Bohonglah jika saya katakan masih belum menemui pengganti, sedangkan hanya tinggal tidak sampai sebulan sahaja AJL 36 bakal berlangsung.

“Saya bersyukur penyanyi yang dipilih bersetuju menggantikan saya. Bagaimanapun, buat masa ini, saya belum bersedia mendedahkan calon yang dipilih.

“Apa yang boleh dikatakan, penyanyi ini sangat berbeza dengan saya. Dia akan menjadi dirinya sendiri dan sememangnya itulah yang saya harapkan,” katanya.

Isteri kepada penyanyi Syamel itu berkata, dia memberikan sepenuh kebebasan kepada penyanyi penggantinya untuk menyampaikan lagu Boneka.

“Saya tidak mahu penyanyi ini menjadi Ernie Zakri. Saya juga berharap peminat tidak meletakkan harapan tinggi pada penyanyi ini,” katanya.

Jelas Ernie lagi, pemilihan tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya tetap melihat kepada kemampuan vokal penyanyi penggantinya supaya dapat membawakan lagu Boneka dengan baik.

“Mengenai kriteria pemilihan, saya tidak mencari penyanyi pengganti asal boleh sahaja. Sebaliknya, saya mencari penyanyi yang mempunyai hala tuju dan tahu apa yang dimahukan.

“Penyanyi ini haruslah seorang yang kreatif, bukan sekadar naik pentas menyanyi atau asal boleh beraksi di pentas AJL 36.

“Sebaliknya, penyanyi ini juga perlu ikhlas menjayakan lagu Boneka kerana karya ini terlalu penting buat saya,” katanya.

Mengulas dakwaan mengatakan bapa sepupunya, Anuar Zain dan suami, Syamel disebut-sebut sebagai penyanyi pengganti, Ernie meminta peminat bersabar dan menunggu sehingga malam kemuncak AJL 36.

“Ya, saya ada dakwaan mengatakan Anuar atau Syamel bakal menggantikan saya. Mengenai perkara ini, kita sama-sama tonton AJL 36.

“Apapun, saya mohon peminat mendoakan yang terbaik untuk persiapan lagu Boneka,” katanya.

Terdahulu, Ernie mengakui sedih tidak dapat meneruskan perjuangan dan memberikan ‘roh’ kepada lagu Boneka di pentas AJL 36.

Bagaimanapun, Ernie mengakui, terbuka siapa pun calon yang bakal menggantikan tempatnya. Apa yang lebih utama, dapat memuaskan hati komposer.

Ernie pernah menyandang trofi Vokal Terbaik AJL sebanyak dua kali. Menerusi edisi ke-32, Ernie menyampaikan lagu duet Aku Cinta bersama Syamel, manakala lagu solo, Gundah menerusi edisi ke-35.

Selain lagu Boneka, Ernie dan suaminya mempersembahkan lagu duet, Goodbye Hello di pentas Semi Final Muzik Muzik Ke-36. Bagaimanapun, lagu itu gagal bolos ke pentas AJL 36.

AJL 36 akan dipancarkan secara langsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan disiarkan serentak di TV3, jam 9 malam pada 6 Mac depan menyaksikan 12 lagu berentap merebut gelaran juara lagu.

 

BHonline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker