Hormat keputusan Jamal Abdillah tarik diri

Oleh – Syeikh Baran


Hormat keputusan Jamal Abdillah tarik diri
Wany (kiri) menyerahkan kepada syarikat rakaman untuk membuat kenyataan berhubung penarikan diri teman duetnya, Datuk Jamal Abdullah daripada AJL38 pada 3 Mac ini.

Syarikat rakaman FMC Music selaku penerbit lagu Kucuma terbuka menerima keputusan rakan duet Wany Hasrita, Datuk Jamal Abdillah menarik diri daripada menyertai Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada 3 Mac depan.

Pengarah Urusan FMC Music, C.F Ho, berkata penghibur terbabit sudah berbincang dengan semua pihak sebelum mengumumkan dan memaklumkan keputusannya kepada pihak produksi TV3.

“Kami FMC Music iaitu syarikat yang menerbitkan lagu Kucuma mengesahkan Datuk Jamal Abdillah telah menarik diri dari menyertai Anugerah Juara Lagu untuk tahun ini.

“Keputusan itu dibuat setelah mendapat persetujuan bersama antara pihaknya, produksi dan FMC Music yang mewakili pencipta lagu.

“Pihak kami tidak dapat berbuat apa-apa jika keputusan itu telah dibuat sendiri dan dipersetujui pihak penerbitan,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurutnya lagi, FMC yang mencadangkan agar Raja Pop terbabit memberitahu TV3 mengenai hasratnya.

Sementara itu, Wany atau nama lengkapnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 32, itu, mendedahkan agak sedih dengan keputusan Jamal, namun tetap profesional menerima perkhabaran tersebut.

“Label saya, FMC Music sudah memberikan kenyataan, apa pun kita kena berlapang dada walaupun secara peribadi saya memang sedih sebab lagu ini asalnya duet saya dan Datuk Jamal.

“Kalau boleh saya mahu buat sehabis baik sempurnakan lagu Kucuma dengannya tapi saya kena profesional, tugas saya adalah menyampaikan lagu tersebut, tidak kisah bersama siapa pun nanti,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya sama ada Raja Pop ada berhubung dengannya sebelum membuat keputusan sedemikian, pelantun lagu Canggung itu menggelengkan kepala.

“Tiada, memang saya sebelum ini pun tidak berhubung secara berdua dengan dia, semuanya melalui pihak pengurusan.

“Tidak mengapalah, macam saya cakap, fokus utama sekarang adalah melakukan yang terbaik, perkara lain kena letak tepi dulu,” ujarnya.

Hari ini, Kosmo! Online melaporkan Jamal mengesahkan telah menarik diri daripada pertandingan berprestij itu.

Jamal, 65, ketika dihubungi berkata, dia terpaksa menarik diri daripada bertanding di pentas AJL38 menerusi lagu Kucuma, duet bersama penyanyi Wany Hasrita kerana terikat dengan komitmen lain.

Jamal menegaskan dia mempunyai beberapa alasan lain yang lebih besar, namun enggan mendedahkannya.

Sumber –  KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker