Punca kematian dua beradik makan sisa tong sampah belum diketahui

Punca kematian dua beradik warga Myanmar yang maut selepas dipercayai makan sisa makanan dari tong sampah di Bukit Malut, Langkawi, belum diketahui.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, bagaimanapun proses bedah siasat telah dilakukan ke atas kedua-dua mangsa, Nizambudin, 4, dan adiknya Ngei, 2.

Beliau memaklumkan, bedah siasat ke atas kedua-dua mayat dilakukan di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, antara jam 10 pagi hingga 3.15 petang pada Selasa.

“Punca kematian sebenar masih belum dapat dipastikan dan perlu menunggu analisa lanjut.

“Pihak polis akan merujuk kepada Jabatan Kimia Malaysia di Pulau Pinang untuk sebarang hasil analisa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shariman memaklumkan siasatan masih diteruskan dan pihak polis terpaksa menggunakan jurubahasa kerana bapa kanak-kanak tersebut tidak fasih berbahasa Melayu.

Pada Isnin, bapa kepada dua beradik warga Myanmar yang maut selepas dipercayai makan sisa makanan dari tong sampah di Langkawi ditahan polis untuk siasatan lanjut pada malam Ahad.

Hasil ujian air kencing lelaki berusia 36 tahun itu didapati positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker