Ronaldo akhiri kemarau gol United

 

Cristiano Ronaldo menamatkan kemarau jaringan enam perlawanan dengan membantu Manchester United menewaskan Brighton 2-0 dan kembali ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

United bagaimanapun bermula hambar di babak pertama sebelum Ronaldo menjaringkan gol pertamanya tahun ini di awal babak kedua dan diikuti pemain Brighton Lewis Dunk dilayangkan kad merah tiga minit kemudian.

Kelebihan itu gagal dimanfaatkan United dengan beberapa peluang keemasan untuk menambah jaringan disia-siakan sehinggalah Bruno Fernandes menjaringkan gol dalam masa kecederaan.

“Babak pertama adalah Mr Hyde, babak kedua Dr Jekyll dan keputusan kali ini berbeza. Apa yang penting ialah mengutip tiga mata menentang pasukan yang pada prestasi terbaik.

“Amat penting apabila dia (Ronaldo) bukan saja menjaringkan gol tetapi ia adalah gol yang hebat. Ia penting buat kami semua, tetapi persembahannya secara keseluruhan adalah yang terbaik sejak saya tiba di sini,” kata pengendali United, Ralf Rangnick.

United mendahului permainan di Old Trafford pada minit ke-51 apabila Scott McTominay membuat umpanan kepada Ronaldo. Ia adalah gol ke-15 penyerang Portugal itu sejak kembali ke United dari Juventus pada Ogos.

Tiga minit kemudian, Dunk diarahkan keluar padang oleh pengadil Peter Bankes selepas kapten Brighton itu menjatuhkan pemain remaja United, Anthony Elanga.

United mengesahkan kemenangan pada minit ke-97 apabila pemain gantian Paul Pogba mengambil sepakan percuma pantas dan Fernandes membawa bola dari kawasan sendiri sebelum menjaringkan gol.

Tiga mata dikutip itu melonjak United ke tangga keempat liga, dua mata di depan West Ham dan empat di belakang penghuni tangga ketiga, Chelsea yang bermain kurang satu perlawanan.

Arsenal, Wolves dan Tottenham juga masih berpeluang merebut tiket ke Liga Juara-Juara dan masing-masing juga mempunyai perlawanan di tangan.

– AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button