“Cepat vaksin,”- Doktor resah, ICU dewasa hospital dipenuhi pesakit kanak-kanak

Pesakit kanak-kanak kini dilaporkan mula memenuhi wad unit rawatan rapi (ICU) di hospital susulan peningkatan kemasukan kes Covid-19 melibatkan golongan berkenaan.

Mendedahkan perkara itu, Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah berkata, wad ICU dewasa di hospitalnya bekerja mula dipenuhi pesakit kanak-kanak dengan rata-rata mereka memerlukan bantuan oksigen.

“Tahukan anda, ICU dewasa di tempat saya sudah bertukar kepada ICU kanak-kanak, minggu lepas kosong, (tetapi) sudah dipenuhi semula.

“Ya Allah, sedihnya lihat mereka ini terbaring memerlukan oksigen,” katanya ringkas menerusi hantaran satu video di aplikasi Tiktok miliknya malam tadi.

Dr. Rafidah berkata, statistik jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak terus melonjak dengan angkanya meningkat melebihi 160 peratus setakat ini.

“Cepat dapatkan vaksin Covid-19 untuk anak-anak, tolonglah. Kami tidak sanggup dengan apa yang kami lihat sekarang,” ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan pemberian vaksin Covid-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kanak-kanak atau PICKids adalah secara sukarela.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ibu bapa atau penjaga perlu memberi kebenaran bertulis bagi melayakkan anak mereka mendapat vaksinasi Covid-19.

“Sebagaimana vaksin dewasa dan remaja, vaksin Covid-19 kanak-kanak akan diberikan secara percuma kepada semua kanak-kanak yang tinggal di Malaysia tanpa mengira status mereka,” katanya.

 

Kosmo

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker