Sebab-sebab kenapa PRN Johor tidak akan dibatalkan
Dengan peningkatan kes Covid-19 yang semakin mendadak kebelakangan ini, terdengar cakap-cakap orang ramai yang meminta agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan pada 12 Mac depan, ditangguhkan ke satu tarikh yang lain.
Menurut mereka, tidak wajar PRN Johor diadakan dalam keadaan negara yang ‘sakit tenat’ pada ketika ini.
Namun, kami di My-TV Online percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pasti sudah merangka pelbagai rangka bagi memastikan kesemua penggundi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pada ketika ini, masyarakat perlu menerima hakikat yang kita kini perlu hidup dengan ‘kehadiran’ Covid-19. Kita perlu mematuhi SOP seperti perlu sentiasa menjaga jarak, memakai pelitup muka serta kerap mencuci tangan.
Antara sebab kukuh lain PRN Johor perlu diteruskan adalah kerana untuk mendapatkan kuasa majoriti apabila kini kerusi DUN terbahagi kepada 28 DUN parti BN manakala 28 lagi DUN parti Amanah, DAP dan PKR.
PRN kali ini dilihat penting bagi mendapatkan kuasa majoriti sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN dimenangi parti sama agar segala keputusan berhubung kerajaan negeri dapat dilaksanakan dalam masa yang cepat.
Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad sebelum ini berkata kedudukan kerajaan negeri yang rapuh itu tidak harus berlaku di Johor.
“UMNO Johor dan saya memutuskan untuk kita dapat mandat baharu daripada rakyat bagi menubuhkan kerajaan negeri lebih kuat.
“Kerajaan yang lebih kuat dapat membawa lebih banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat dan tidak sekadar bergerak atas ihsan pembangkang,” katanya.
Selain itu, para pelabur juga dilihat goyah untuk membuat pelaburan sekiranya kerajaan negeri Johor masih lagi berada dalam fasa tidak stabil sekali gus menimbulkan kegusaran untuk mereka mengambil langkah dalam meneruskan pelaburan di negeri tersebut.
Sehubungan itu, langkah mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat ini dilihat sebagai cara proaktif bagi terus mengembalikan keyakinan pelabur serta rakyat bahawa negeri ini berada dalam tahap stabil sekiranya mampu mencapai kuasa majoriti menerusi prn kali ini.
SPR telah menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor manakala tarikh mengundi pula pada 12 Mac depan. – My-tv online