Zulin sah bergelar isteri Farhan, terima wang hantaran RM30,000

Dengan sekali lafaz, Zulin Aziz, 33, sah bergelar isteri kepada rakan kongsi perniagaan, Farhan Norzaini, 35, di Masjid Negara di sini, pada jam 9.20 pagi Ahad.

Majlis akad nikah berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).

Pasangan mempelai diijabkabul berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz. Mereka dinikahkan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni.

Pada majlis akad nikah, Zulin atau nama sebenar, Farah Azleenda Abdul Aziz menerima wang hantaran RM30,000.



Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan.

Bekas penyampai radio Suria FM itu berharap kehidupan bersama suami dipermudahkan.

“Saya sering digambarkan dengan cinta sejati selama ini. Begitu juga fantasi dunia kartun Disney yang membahagiakan antara dua karakter kartun.

“Namun, sebelum dua karakter kartun itu bersatu, pelbagai dugaan ditempuhi. Di alam realiti, saya melalui pahit getir dalam mencari cinta sejati.

“Kehadiran suami dua tahun lalu bagai magis yang mengubah persepsi bahawa kemarau panas berpanjangan itu berakhir dengan kehadiran pelangi selepas hujan,” katanya.

Zulin dan suami turut diraikan dalam satu majlis resepsi yang diadakan di Shah Alam pada malam semalam.

 

Berita Harian

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker