Johor: Pemuda terharu dibantu BN ketika pandemik COVID-19
Mohd Almar Daniel
JOHOR BAHRU: Keprihatinan Barisan Nasional (BN) membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mendorong anak muda di negeri ini memberi sokongan demi memastikan kemenangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Seorang penduduk Masai, Mohd Almar Daniel, 23, berkata kerajaan BN adalah contoh kepimpinan yang prihatin dengan nasib masyarakat berbilang kaum sejak ditubuhkan.
Menurutnya, malah kebanyakan pemimpinnya sanggup turun padang bagi menyelesaikan permasalahan penduduk termasuk di kawasan luar bandar.
“Apa yang saya lihat, BN sentiasa mendahulukan rakyat dan ketika pandemik Covid-19, mereka tetap menabur bakti kepada rakyat walaupun segelintirnya ketika itu bukan wakil rakyat.
“Bukan saja menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan demi meringankan beban golongan terjejas akibat Covid-19 malah mereka menggerakkan sukarelawan bagi menyantuni keluarga yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Ini adalah masa kami membuat pilihan tepat dan memberi sokongan penuh kepada BN,” katanya.
Mohd Norazam Shah Samad
Sementara itu, penduduk Johor Bahru, Mohd Norazam Shah Samad, 22, berkata kerajaan BN sentiasa mengutamakan keperluan rakyat termasuk mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan golongan muda.
Menurutnya, rugutan orang muda yang ketiadaan pekerjaan disambut bijak oleh kerajaan BN dengan menyediakan latihan supaya mereka mampu meneroka peluang lebih luas demi masa depan lebih terjamin.
“Ini membuktikan BN bersungguh-sungguh memenuhi keperluan golongan itu menerusi pendekatan daripada ‘top down’ kepada ‘bottom up’.
“Antara keunikan BN adalah suara orang muda akar umbi dikutip, dikumpul dan diteliti untuk dijadikan satu dasar demi kesejahteraan negara dan jelas tiada parti lain yang lebih berkredibiliti melainkannya,” katanya.
Mohd Hasraf Zulkefli
Sementara itu, penduduk Pasir Gudang, Mohd Hasraf Zulkefli, 24, berkata golongan muda tidak seharusnya termakan dakyah pembangkang sebaliknya perlu bijak memilih parti yang benar-benar tulen memperjuangkan nasib mereka.
“Mereka perlu sedar kepentingan undi mereka yang akan menentukan masa depan Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Rakyat sebelum ini memberi mandat kepada parti lain untuk memerintah malangnya tiada perubahan baik dilihat.
“Sebagai golongan muda kami berharap BN akan melakukan terbaik sekiranya menang di PRN Johor,” katanya.