Keputusan Parti Muda kurang matang

JOHOR BAHRU – Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dilihat keputusan kurang matang.

Ia dijangka akan menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan dalam kalangan pengundi di kawasan itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Nasir berkata, tindakan Muda itu juga bertentangan dengan pendirian Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana sebelum ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon di kerusi ditandingi PKR.



“AMK tertanya-tanya apa motif sebenar Muda mahu meletakkan calon di DUN Larkin sedangkan Keadilan telah menamakan seorang tokoh profesional dan berpengalaman.

“Muda meletakkan calon di kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan (PH) adalah sama seperti mana dilakukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan).

“Walaupun berhadapan risiko pecah undi, akibat tindakan Muda, Keadilan tetap yakin akan mampu menawan semula Larkin yang sebelum ini dimenangi PH dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu,” katanya di sidang media di sini.

Selain calon PKR dan Muda, turut dijangka bertanding di DUN Larkin termasuk Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah (UMNO); Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang).



Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menyifatkan tindakan Muda itu sebagai amalan politik dangkal.

Beliau berkata, meskipun tindakan Muda itu tidak memberi kesan terhadap fokus perjuangan PKR, ia boleh mewujudkan tanggapan buruk orang ramai terhadap Muda.

“Tindakan Muda ini hanya, jika tidak berhati-hati ketika ini akan mengesahkan tanggapan ramai pihak yang menyifatkan daya politik Muda yang tidak matang dalam menilai pihak kawan dan lawan,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button