Calon pengantin baru gamatkan penamaan calon di Endau
Endau: Berpakaian ‘Raja Sehari’ berwarna ungu, calon Pakatan Harapan, Mohd Fakrulrazi Mahmud, 32, berjaya menarik perhatian ramai semasa proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan dari parti Amanah itu tiba di Dewan Serbaguna Endau pada jam 9.17 pagi, Sabtu.
Keputusan mengenakan busana pengantin itu diambil berikutan beliau mengadakan majlis resepsi perkahwinannya pada hari sama penamaan calon.
Katanya, beliau tidak menyangka hari proses penamaan calon itu akan diadakan serentak pada hari persandingannya yang telah dirancang lebih awal.
Dia dan pasangannya, Mardiah Abd Razak, 34, dinikahkan pada 22 Februari lalu.
Mohd Fakrulradzi berkata, mereka terpaksa berkorban dan melupakan seketika waktu untuk berbulan madu bagi memberi tumpuan terhadap kempen menarik pengundi sehingga 12 Mac depan.
“Semuanya terpaksa cancel termasuk honeymoon untuk dua minggu ini.
“Isteri memahami perjuangan saya dalam dunia politik terutama meningkatkan ekonomi penduduk di sini,” katanya.
Sementara itu, Mardiah berkata, dia akan memberi sokongan sepenuh hati terhadap perjuangan suaminya itu.
“Saya akan menyokong sepenuhnya perjuangan dia untuk anak bangsa dan agama terutama di Endau.
“Dia bukan hak saya seorang tetapi kini hak masyarakat,” katanya.