Persaingan tiga penjuru bawa keuntungan kepada BN – Adham Baba

Kota Tinggi: Persaingan sekurang-kurangnya tiga penjuru pada Pilihanraya Negeri (PRN) Johor kali ini sebenarnya memberi keuntungan pada Barisan Nasional.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Dr Adham Baba berkata, ini adalah peluang terbaik bagi BN untuk menang dengan lebih selesa pada pilihanraya negeri itu.

“Persaingan banyak penjuru peluang baik BN kerana kita ada pengundi putih kita.

“Jadi, undi berpecah selebihnya dalam kalangan parti serpihan lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Iqfa Kanak-kanak Tabika Kemas Parlimen Tenggara, di sini, pagi tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai persaingan banyak penjuru dalam pilihanraya negeri kali ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya begitu yakin dua calon BN bagi DUN Panti dan Pasir Raja akan berjaya mengekalkan kerusi masing-masing yang dimenangi pada Pilihanraya Umum ke-14 2018 lalu.

“Bagi DUN Panti dan Pasir Raja, BN kemukaan semula calon yg dahulu pernah menjadi wakil rakyat kerana perkhidmatan mereka selama ni sangat baik dan diterima.

“Oleh itu kita ada keyakinan tinggi untuk mereka dikekalkan dan mudah kita berurusan dengan masyarakat di sini,” katanya.

Dua calon BN iaitu Hahasrin Hashim (Panti) dan Rashidah Ismail (Pasir Raja), masing-masing berdepan saingan empat penjuru.

Mengenai pengundi baru dan pengundi muda, beliau berkata, terdapat kira-kira 20 ribu pengundi baru dan enam ribu pengundi muda yang didaftarkan kali ini.

“Kita menggunakan kaedah media sosial untuk mendekati pengundi muda ini dan kita juga menjejaki mereka yang berada di luar kawasan.

“Selain itu, kita juga menghebahkan calon kita menerusi media sosial supaya mereka lebih dikenali pengundi di sini,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker