Cabaran tarik undi pengundi muda

AZNAN… (empat dari kiri) bersama jentera PDM Sungai Rengit.

Pengerang: Menarik perhatian pengundi muda yang didaftarkan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, di sini, menjadi cabaran bagi empat calon yang bertanding dalam Pilihanraya Negeri Johor, kali ini.

Bagaimanapun, sebagai calon termuda daripada empat calon bertanding, Aznan Tamin, 38, yang mewakili Barisan Nasional (BN), dilihat mempunyai peluang cerah meraih perhatian golongan muda itu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang berkata, keyakinannya itu berdasarkan kepada pembabitannya secara aktif dalam program belia yang dijalankan di kawasan itu.

“Sebagai pemimpin belia di kawasan ini, kita telah banyak menjalankan program bagi belia termasuk program latihan industri dalam bidang industri minyak dan gas.

“Ini adalah satu program terbaik bagi mereka untuk terus mendapat pekerjaan selepas tamat latihan,” katanya ketika ditemui pada program lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Rengit, di sini, hari ini.

Selain Aznan, tiga calon lain ialah Selamat Ujud (Perikatan Nasional), Rosnan Tahir (PKR) dan Samad Atan (Pejuang).
Berikutan pembabitan aktif dalam kegiatan belia itu juga, beliau mendapati golongan muda mula menyedari kerajaan terdahulu hanya banyak menabur janji palsu.

“Anak muda dah mula sedar, kerajaan terdahulu berjanji bermacam-macam perkara, tapi tak ditunai,” katanya.
Mengenai pengundi Cina, Aznan berkata, pihaknya amat gembira dengan maklum balas positif daripada mereka.

“Mereka berikan respons yang sangat baik dan MCA di sini, banyak membantu kita.

“Mereka juga membantu kerja-kerja memasang bendera BN di sini.

“Saya rasa pengundi Cina dah balik pada kita dan akan memberi sokongan,” katanya.

Mengenai sama ada pemilihannya sebagai calon pada saat akhir menggantikan calon asal, Datuk Syed Sis Abdul Rahman menimbulkan perasaan tidak puas hati sesengah pihak, Aznan berkata, masalah itu tidak timbul sama sekali.

“Untuk makluman semua, Datuk Syed Sis banyak membantu saya dan semalam, saya seharian bersama beliau.

“Beliau sanggup turun padang dan membantu saya. Saya hargai usaha beliau,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker