Calon BN Dun Johor Lama giat percepat program perumahan generasi kedua

Kota Tinggi: Program perumahan bagi generasi kedua Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama akan dipercepatkan bagi memenuhi impian golongan terbabit memiliki rumah sendiri.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Johor Lama, Norliza Noh berkata, program itu sebenarnya sedang dilaksanakan dengan kerjasama daripada Majlis Belia Felda Malaysia.

“Ia bukan tidak bergerak seperti dakwaan segelintir pihak.

“Ia sebenarnya terus bergerak dari dulu. Mungkin orang tak nampak perkembangannya.

“Selepas ini kita akan war-warkan kepada anak Felda generasi kedua serta menambah baik proses berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program bertemu penduduk di Felda Ayer Tawar 3, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai rungutan generasi kedua Felda di kawasan itu berhubung perkembangan program perumahan bagi generasi itu.

Semalam, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohamad melancarkan Ikhtiar Johor bagi menghadapi PRN ini.

Antaranya ia menyentuh langkah memudahcara pembinaan perumahan generasi baharu Felda dan melantik wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Felda.

Selain itu, penyelenggaraan infrastruktur di Felda juga akan terjamin apabila ia diserahkan kepada kerajaan negeri.

Pada PRN Johor kali ini, Norliza akan ditentang tiga calon lain iaitu Mohamad Alias Rasman dari Perikatan Nasional (PN), Omar Mokhtar A Manap dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan wakil Pejuang, Mohd Shukor Ahmad.

Pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu,calon BN Rosleli Jahari memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,807 menewaskan calon PKR dan PAS.

Selain program perumahan itu, Norliza berkata, beliau sentiasa mencari jalan bagi membangunkan ekonomi belia di kawasan Felda di situ.

“Bila kita melawat kawasan Felda, kita dapati ramai belia terbabit dalam bidang perniagaan dan penternakan.

“Jadi, kita akan membantu mereka bagi meningkatkan taraf hidup mereka untuk menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker