Johor: Desak mempercepat pembukaan sempadan Malaysia-Singapura

JOHOR BAHRU: Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang menjadi perhatian dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak wajar lagi ditangguhkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan Malaysia didesak supaya segera mengadakan rundingan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura bagi membolehkan pergerakan rentas sempadan dibuat secara menyeluruh.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pembukaan sempadan amat perlu lebih-lebih lagi Johor bergantung dengan ekonomi rentas sempadan.



Beliau berkata, sejak dua tahun lalu,
Johor Bahru menjadi bandar raya lesu dan malap tanpa aktiviti ekonomi yang aktif serta pergerakan manusia rentas sempadan.

“Lihat sahaja pelbagai pusat beli-belah serta kedai sekitar bandaraya Johor Bahru, tidak terbayang ia menjadi seperti ini.

“Tiada impetus dan rangsangan ekonomi dapat memulihkan Johor Bahru, malah Johor keseluruhannya tanpa pembukaan sempadan kedua-dua negara,” katanya menerusi suatu kenyataan.

Mohamed Khaled berkata, rundingan kerajaan pusat dengan negara republik berkenaan yang dilakukan ketika ini dilihat lewat.



“‘Incremental measures’ dimulakan tetapi ia sangat perlahan, ia sepatutnya dilonjakkan.

“Berkurung sudah, bervaksin sudah, berbooster sudah, patuh prosedur operasi standard (SOP) sehingga jemu,” katanya.

Justeru katanya, sesuatu perlu dilakukan dan tidak boleh terhalang hanya kerana pandemik Covid-19.

“Kehidupan harus diteruskan, ada masa depan untuk dibina, ada mulut perlu disuap, ada cita-cita ingin dicapai, semua ini tidak boleh ditewaskan dengan virus covid ini.



“Johor mesti melupakan ‘the new normal’ dna ia mesti kembali kepada ‘the usual life’ yang sesuai, selari dan seiring fitrah manusia sebagai mahluk sosial,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button