Polis masih siasat Azam Baki

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan berhubung pemilikan saham di atas nama Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, biarpun Suruhanjaya Sekuriti (SC) sudah menutup siasatan terhadapnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata siasatan yang masih diteruskan itu berkait Dang Wangi report 396/2022 bertarikh 6 Januari lalu, dengan membuka Kertas Enkuiri Polis.

“Setakat ini, siasatan masih berterusan. Sehubungan itu, kementerian tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini supaya tidak mengganggu siasatan yang masih berlangsung,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.



Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) bertanyakan sama ada siasatan terhadap Azam berkenaan isu pemilikan saham atas nama beliau masih berjalan, biarpun SC sudah memuktamadkan dan menutup siasatan terhadap beliau.

Azam dalam sidang media sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat, termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga, selain Azam tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Isu pemilikan saham oleh Azam mendapat tumpuan ramai baru-baru ini, namun SC tidak dapat memastikan secara konklusif Azam melanggar undang-undang berhubung pemilikan sahamnya, selepas mengumpul bukti dan menyelesaikan siasatannya.



Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button