PRN Johor: Lee Ting Han mahu manfaatkan fasiliti sukan untuk golongan belia

PALOH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Paloh, Lee Ting Han menyatakan visinya mahu memanfaatkan fasiliti sukan bagi kegunaan golongan belia di kawasan tersebut.

Menurut Ting Han, 32, dia mahu merancakkan kembali aktiviti sukan di dun berkenaan dengan lebih penyertaan daripada golongan anak muda.

“Dun Paloh ini ramai orang muda dan salah satu daripada misi jangka pendek saya ialah untuk menrancakkan aktiviti sukan.

“Kita ada gelangang sukan futsal, bola sepak, bola keranjang dan kita akan pastikan fasiliti itu digunakan dengan sebaiknya.

“Kita kena bangunkan semula supaya belia di Paloh dapat manfaatkan fasiliti sedia ada,” katanya dalam temubual eksklusif bersama My-TV Online.

Bekas graduan jurusan Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) ini turut berharap kerajaan negeri Johor akan menyenaraikan Paloh sebagai salah satu daerah yang bakal menerima inisiatif penubuhan Tunku Ismail Youth Center seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad baru-baru ini.

“Datuk Hasni telah membentangkan Belanjawan 2022 berkaitan penubuhan Tunku Ismail Youth Center di setiap daerah, jadi saya berharap pusat itu nanti dapatlah dibina di Dun Paloh ini atau di Parlimen Sembrong,” ujarnya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac ini, Ting Han bakal dicabar calon dari Perikatan Nasional (PN), Selvendran Velu, Aminuddin Johari (Pejuang) dan calon penyandang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sheikh Umar Bagharib Ali.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Sheikh Umar memenangi kerusi dun Paloh dengan majoriti sebanyak 783 undi. – My-Tv Online

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker