Hishammuddin: Jangan menang sorak kampung tergadai

Hishammuddin dan Saravanan pada majlis Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di Mersing. Foto: Bob

Mersing: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mengingatkan Barisan Nasional (BN) di negeri ini supaya ‘jangan menang sorak kampung tergadai’.

Beliau berkata, peluang Barisan Nasional memenangi Pilihanraya Negeri (PRN) Johor amat cerah.

“Tiada reaksi negatif yang diterima sepanjang kempen BN setakat ini.

“Namun, kita masih berbaki beberapa hari lagi (untuk berkempen),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan.

Pada PRN Johor kali ini, Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, manakala Raven Kumar Krishnasamy yang juga penyandang bertanding di DUN Tenggaroh.

Mengenai peluang dua calon BN di Mersing, Hishammuddin berkata, pihaknya yakin BN boleh mengekalkan kedua-dua kerusi itu.

“Kita masih boleh menang di Mersing, maka saya tidak risaulah.

“Saya lihat sendiri sejak hari penamaan calon, sokongan amat memuaskan.

“Mereka mula yakin hanya BN saja yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat di negara ini,” katanya.

Hishammuddin juga mengingatkan, dalam mengharungi PRN Johor ini, tiada unsur menanam kebencian hingga menyebabkan perpecahan di kalangan kaum dan agama.

“Mari kita fokus pada apa yang Kementerian Sumber Manusia buat hari ini.

“Itu perkara pokok yang kami tumpukan selepas segala perkara berakhir di pilihan raya Johor kali ini,” katanya. -my-tv online

Leave a Reply