Samsolbari janji beri lebih penekanan majlis pengimarahan masjid dan surau

Calon penyandang Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali akan memberi penekanan dan fokus dalam majlis pengimarahan masjid dan surau di kawasan tersebut.

Setakat ini, DUN Semarang mempunyai 62 daripada 89 buah surau di seluruh Parlimen Ayer Hitam manakala masjid di DUN berkenaan pula sebanyak 22 berbanding 33 buah masjid secara keseluruhannya di Ayer Hitam.

“Pembangunan masjid dan surau termasuk pengisian bagi pengimarahannya sentiasa menjadi keutamaan saya dan InsyaAllah akan terusk diberi penekanan,” katanya.



Selain itu, sepanjang tempoh berkempen sehingga 11 Mac ini, Samsolbari mengambil pendekatan dengan bertemu sekerap mungkin bersama pengundi di kawasan berkenaan.

“Bertemu penduduk kampung sekerapnya adalah pendekatan yang menjadi keutamaan sepanjang saya menjadi wakil rakyat di DUN Semarang ini.

“Bertanya khabar antara satu sama lain, adakalanya penduduk menyampaikan permasalahan, cadangan dan melalui pertemuan santai begini jugalah perbincangan mengenai sesuatu perkara diadakan.



“BN telah melaksanakan kepimpinan berorientasikan perkhidmatan, di sepanjang masa, siang dan malam, tidak kira hujan atau panas, dalam susah dan senang, BN tetap bersama-sama dengan masyarakat.

“Disebabkan itu, saya tidak kekok untuk bersama-sama dengan masyarakat disebabkan kekuatan semangat BN itu sendiri,” ujarnya.

PRN Johor kali ini Samsolbari bakal dicabar tiga calon lain iaitu Adzlan Raju daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Haryati Abu Nasir daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Shazani A Hamid daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, Samsolbari memenangi kerusi DUN Semarang dengan undi 10,751 dan majoriti 5,842 menewaskan Zais Mohd Akil (PKR) dan Mohd Bakri Samian daripada Pas. – my-tv online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button