BN optimis rampas kerusi Kota Iskandar dan Skudai

Meskipun hanya berbaki tiga hari bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, jentera Barisan Nasional (BN) Bahagian Iskandar Puteri giat berkempen hampir setiap masa demi merampas dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.

Naib Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Radin Seri Kartini Abdullah berkata, jentera BN Iskandar Puteri berkempen ‘back to back’ demi mendekati seramai mungkin pengundi selain memastikan kemenangan BN.

Menurutnya, keyakinan itu disandarkan oleh kemampuan kedua-dua calon yang bertanding untuk kedua-dua kerusi berkenaan.

Katanya, Pandak Ahmad yang bertanding untuk kerusi DUN Kota Iskandar terkenal atas khidmat bakti kepada masyarakat.



“Ia termasuk perjuangannya bagi membela masyarakat kampung, kumpulan nelayan mahupun menaikkan Kampung Sungai Melayu.

“Begitu juga Lim Soon Hai bagi kerusi DUN Skudai turut mempunyai kekuatan tersendiri.

“InsyaALLAH kita akan terus keras untuk memastikan kerusi DUN Kota Iskandar mahupun kerusi DUN Skudai menjadi milik BN semula,” katanya.

Radin Seri Kartini berkata, kegagalan pembangkang yang memerintah sebelum ini turut memberi peluang kepada BN menawan hati para pengundi.



“Ahli Majlis DAP sebelum ini tidak peka dengan isu-isu semasa.

“Bahkan, apa-apa masalah yang berlaku penduduk tetap rujuk kepada kepimpinan BN untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata, sesuai dengan kempen dalam norma baharu, BN Bahagian Iskandar Puteri turut menggunakan medium media sosial untuk menyebar maklumat dan pergerakan kedua-dua calon dari semasa ke semasa.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker