Felda kubu kuat BN, sengaja ‘diserang’ pembangkang
Kota Tinggi: Kawasan Felda di sini sengaja dijadikan sasaran oleh parti pembangkang untuk meraih undi berikutan ia menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN), sejak sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabr berkata, tidak banyak isu yang berlaku di Felda ketika ini terutama sekali dengan peningkatan harga sawit yang mencecah paras tertinggi.
“Isu tak banyak. Mereka pun meraih pendapatan yang tinggi mencecah RM10,000 sebulan.
“Ia sengaja dijadikan bahan dan peneroka Felda di Kota Tinggi ini, majoritinya adalah Melayu dan mereka sangat setia pada BN.
“Sebab itu, mereka (pembangkang) tumpu pada Felda. Saya harap peneroka Felda tak terpengaruh,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera, di Felda Kok Heng Barat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pengundi di Parlimen Kota Tinggi ini cukup beruntung berikutan kedua-dua calon yang ditampilkan adalah anak peneroka tempatan.
“Kedua-dua calon utk pilihanraya negeri ini terdiri daripada generasi kedua Felda.
“Aai (Muszaidi Makmor), calon DUN Sedili adakah anak Felda Lok Heng, manakala Norliza Noh, calon DUN Johor Lama pula anak Felda Simpang Waha.
“Kalau saya peneroka dan generasi kedua Felda, pasti saya menyokong mereka,” katanya.
Kedua-dua kerusi DUN Sedili dan Johor Lama sebelum ini adalah milik BN apabila kedua-dua calonnya iaitu Rasman Ithnain dan Rosleli Johari, memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu.
Bagaimanapun, kedua-duanya melompat parti kepada Bersatu, beberapa hari selepas BN tumbang.
Beliau berkata, kita perlu kerajaan Johor yang stabil dan pihak yang boleh menstabilkan kerajaan negeri untuk memperkukuhkan ekonomi serta kesejahteraan rakyat adalah berdasarkan kebijaksanaan pengundi di sini.
“Johor ini bertuah sebab dari segi pelaburan, negara yang paling hampir adalah Singapura.
“Sudah pasti Johor menjadi pusat pelaburan,” katanya.