Ali bebas COVID-19, ditidurkan selepas sesak nafas

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan XPDC, Ali, 53, terpaksa ditidurkan selepas mengalami sesak nafas, petang semalam.

Berkongsi perkembangan lanjut, biras Ali, Zamri Ab Karim memaklumkan, keadaan Ali bertambah baik selepas menunjukkan perkembangan positif apabila mampu bergerak dan bercakap selepas mendapat serangan angin ahmar ringan, Jumaat lalu.

“Saya dimaklumkan keluarga, kini Ali ditidurkan buat sementara selepas mengalami sesak nafas. Serangan angin ahmar dialaminya bertambah baik berbanding sebelum ini.

“Ali sudah boleh menggerakkan tangan dan bercakap secara perlahan-lahan, sejak dua hari lalu. Alhamdulillah, keadaan kesihatannya semakin menunjukkan perkembangan positif.

“Cuma, Ali terpaksa ditidurkan kerana doktor mahunya berehat, petang semalam. Jika berterusan berjaga, paras oksigen mungkin akan turun,” katanya.
Zamri juga menepis dakwaan kononnya keputusan dibuat doktor ada kaitan dengan jangkitan COVID-19.

“Ali sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif,” jelasnya.

Percaya dengan kuasa doa, Zamri mengharapkan orang ramai mendoakan Ali segera sembuh.

“Ahli keluarga memohon jasa baik peminat dan sahabat berdoa dan mengadakan solat hajat agar kesihatan Ali kembali pulih seperti sedia kala,” ujarnya.

Terdahulu, Ali atau nama sebenar, Mohd Ali Ismail, 53, dikejarkan ke Hospital Ampang apabila didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio pemain bes XPDC, Eddie di Pandan Indah, Jumaat lalu.

Ali dan XPDC giat berlatih sebagai persiapan Konsert Jualan Hitam 2022 yang akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Banting, esok.

Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker