Inteam kutip RM840,000 bantu pelarian Syria

KUALA LUMPUR: Tiada sekelumit perasaan kecewa biarpun kutipan sasaran sebanyak RM1 juta tidak kesampaian selepas melakukan ‘Cabaran 12 Jam Syria’ ketika menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Siri Ke-10 di utara Syria pada 18 Februari lalu.

Menerusi misi itu, Inteam yang dianggotai Hazamin, Abdul Rahim dan Mohd Syahril melakukan ‘Cabaran 12 Jam Syria’ di mana mereka merasai kesukaran dan cuaca sejuk ketika tinggal dalam khemah kem pelarian.

Memulakan cabaran daripada jam 11 pagi hingga 11 malam, Inteam berjaya memungut lebih RM840,000 untuk disalurkan kepada Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Siri Ke-10.



Anggota Inteam, Hazamin berkata, dia, Abdul Rahim dan Mohd Syahril bersyukur dengan kutipan yang diperoleh.

“Alhamdulillah. Walaupun sasaran RM1 juta tidak berjaya, namun, kami tetap terharu atas sumbangan rakyat Malaysia dan negara lain. Sumbangan ini sangat besar dan bermakna buat kami.

“Jumlah kutipan ini dapat membantu lebih 84,000 pelarian di wilayah bergolak itu,” katanya.

Hazamin berkata, dia yakin kutipan diperoleh bakal bertambah dalam semasa ke semasa.



“Ada menyumbang nilai besar antara RM20,000 hingga RM75,000. Jika ikutkan, masih ada penderma yang masih mahu menghulurkan sumbangan walaupun sesudah tamat cabaran.

“Insya-Allah, saya percaya jumlah kutipan pasti bertambah. Ia lebih baik daripada tiada langsung dan dapat juga membantu pelarian di utara Syria.

“Bagi penderma menyumbang RM10 hingga RM100 pun amat bermakna buat kami,” katanya.

Kata Hazamin, ini kali kedua menjejaki Syria. Ketika kali pertama, Inteam tidak berkesempatan bermalam di Syria dan hanya berulang alik keluar masuk sempadan ke Gaziantep, Turki setiap hari.



“Dapat merasai pengalaman tinggal dalam khemah kem pelarian ketika cuaca sejuk memberi justifikasi berbeza kepada saya dan Inteam.

“Bayangkan khemah diperbuat daripada kanvas dan kain nipis dalam musim sejuk amat mencengkam tulang. Walaupun ada pemanas dalam khemah, kesejukan tetap dirasai.

“Mungkin ada yang melihat cabaran dilalui tidak sehebat pelarian yang menempuhnya setiap masa.

“Benar, kami hanya rasa sehari sahaja. Kami tak dapat membayangkan bagaimana pelarian yang tinggal di khemah sejak hampir 10 tahun lalu. Cukup besar ujian dilalui mereka,” katanya.



Hazamin berkata, Inteam turut menyampaikan bantuan kepada 100,000 pelarian berupa bakul makanan, set hidangan, alat pemanas, bahan bakar, set pakaian musim sejuk dan selimut yang dikenali sebagai Selimut Kasih.

“Kami juga mengambil kesempatan melakukan penggambaran video muzik lagu Selimut Kasih ciptaan Mohd Syahril dan lirik ditulis Fedtri Yahya,” katanya.

Mengulas keprihatinan dan sikap pemurah rakyat Malaysia, Hazamin berkata, dia tersentuh dengan kemuliaan hati penderma.

“Bukan kita sahaja mengakui betapa orang Malaysia cukup tebal dengan sikap pemurah, warga pelarian Syria dan Lubnan juga tersentuh.



“Mereka sering menantikan kehadiran pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia. Bantuan kemanusiaan dari Malaysia disifatkan istimewa dengan kuantiti barangan tinggi,” katanya.

Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button