Tiada isu kekurangan bekalan elektrik, air di Johor

Oleh – Syeikh Baran


Tiada isu kekurangan bekalan elektrik, air di Johor
ONN HAFIZ melawat pembangunan infrastruktur sistem bekalan air baharu yang sedang dilaksanakan pada Lawatan Kerja berkaitan kemampanan bekalan air di Empangan Sungai Layang, Pasir Gudang, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

Kerajaan negeri beri jaminan tidak timbul isu kekurangan bekalan elektrik dan air di Johor dan berada pada tahap lebih daripada mencukupi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bekalan elektrik dan air itu bukan sahaja mampu untuk kegunaan rakyat bahkan mencukupi untuk kerancakan pembangunan di negeri ini.

Katanya, bagi bekalan elektrik di seluruh Johor mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 10,476 megawatt (mw), jauh lebih tinggi berbanding permintaan maksimum iaitu 2,804 mw.



Katanya, lebihan sebanyak 75 peratus bekalan elektrik yang boleh dimanfaatkan pelbagai sektor ekonomi di Johor termasuk kawasan perindustrian dan pertumbuhan.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga menggunakan kaedah persefahaman dengan pemaju bagi membangunkan infrastuktur baru melibatkan kos ditanggung pemaju dan TNB 50-50.

“Selepas pemaju mencapai penggunaan yang ditetapkan, wang akan dikembalikan kepada pemaju. Kaedah itu dapat merancakkan pengembangan kawasan perindustrian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang di sini hari ini.



Onn Hafiz berkata, bagi bekalan air pula, Ranhill SAJ memaklumkan terdapat 16 projek sedang berjalan membabitkan tiga projek dalam bentuk kajian manakala 13 projek lagi mempunyai peruntukan pelaksanaan.

Katanya, dari segi keperluan jangka pendek dan sederhana, bekalan sedia ada ini mencukupi bagi menampung permohonan perindustrian untuk kegunaan bekalan air ini.

“Satu daripada 13 projek ini telah siap, bakinya akan siap secara berperingkat pada tahun ini dan tahun depan dengan penambahan kapasiti bekalan air sebanyak 1,170 juta liter sehari.

“Projek baharu ini akan menyumbang kepada penambahan jumlah rezab air kita sebanyak 18 peratus, ini adalah berita baik dan perkembangan positif kepada negeri ini,”katanya.

Di Johor, TNB mempunyai sebanyak 105 PMU, 108 Pencawang Pembahagian Utama (PPU) dan 15,643 Pencawang Elektrik (PE) yang meliputi 12 kawasan perniagaan seluruh Johor.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker