Pilih kerajaan yang makmurkan ‘Rumah Kita’ – Hasni

JOHOR BAHRU: Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor bukanlah sekadar ikrar atau pelan yang berjela-jela, sebaliknya komitmen bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran masa depan Rumah Kita.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata apabila diberikan mandat untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu nanti, BN Johor tidak akan berlengah dalam melaksanakan ikhtiar itu demi menjamin masa depan semua rakyat Johor.

“Johor adalah Rumah Kita. Di sinilah tempat kita dilahirkan, menempuh segala ranjau kehidupan dan mungkin di sini juga tempat kita disemadikan.

“Dalam tempoh masa kurang 24 jam, saudara dan saudari akan menunaikan tanggungjawab untuk menentukan hala tuju Rumah Kita ini bagi tempoh lima tahun akan datang.



“Sesungguhnya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, masa depan Rumah Kita ini akan menjadi cagaran dan taruhan. Semua parti politik telah pun menawarkan pelbagai ikrar dan pelan kepada kita.

“BN Johor juga tidak terkecuali. Namun, Ikhtiar BN Johor bukanlah sekadar ikrar atau pelan yang berjela-jela. Ikhtiar BN Johor merupakan komitmen bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran masa depan Rumah Kita,” katanya satu kenyataan, di sini hari ini.

Hasni meminta pengundi pada PRN Johor memilih mereka yang paling layak dan terbaik untuk memajukan dan melindungi Rumah Kita.

Katanya, rakyat Johor wajar memilih sebuah kerajaan yang berupaya mengurus ekonomi dan membina potensi rakyat Johor.

“Kita wajar memilih naratif politik baharu lagi matang. Politik amal dan politik bakti. Bukan politik yang ‘disruptive’, jauh sekali ahli-ahli politik yang chauvinis.

“Kita juga wajar memilih masa depan yang stabil, masa depan yang sejahtera dan lebih terjamin untuk semua. Bukan masa depan yang tidak berpijak di bumi nyata, malah berada di luar kemampuan yang ada.

“Pilihan di tangan kita. Pilihlah pemimpin yang benar-benar mahu dan terbukti berupaya memberikan yang terbaik untuk masa depan Rumah Kita.

“Semoga dengan tekad untuk kekal berikhtiar, Johor Darul Ta’zim yang kita cintai ini akan menjadi lebih hebat berbanding sekarang, akan lebih makmur pada masa depan. Insya-Allah. Justeru, Kita wajar memilih kestabilan masa depan,” katanya.

Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker