Tanah runtuh: Lebih 200 penghuni diarah kosongkan kediaman

Ampang: Lebih 200 penghuni di 48 rumah di Taman Bukit Permai 2, diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing sementara waktu bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan kajian terperinci.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata, tindakan itu diambil susulan hasil pemantauan awal dilakukan mendapati terdapat rekahan tanah yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah.

“Kita perlu melakukan kajian terperinci berhubung perkara itu kerana dibimbangi pergerakan tanah masih berlaku disebabkan rekahan terbabit.

“Justeru itu, lebih 200 penduduk di 48 rumah berkenaan perlu mengosongkan kediaman mereka bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.



Ani berkata, pihaknya menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak di lokasi berhampiran.

“Bagaimanapun, tiada penduduk yang tinggal di PPS berkenaan. Mereka memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa yang berdekatan.

“Meskipun begitu, PPS berkenaan sentiasa dibuka untuk penduduk yang mahu tinggal sementara di sana,” katanya.

Beliau berkata, satu pusat pengurusan bencana daerah turut diwujudkan bagi merangka strategi yang lebih teratur dalam kejadian itu.



“Ia membabitkan kerjasama daripada beberapa agensi termasuk MPAJ, Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain,” katanya.

Beliau memaklumkan kerja pembersihan tidak boleh dilaksanakan ketika ini kerana perlu melihat aspek kestabilan cerun berkenaan.

Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker