Analisis PRN Johor – Johor Timur

Banyak yang kepemimpinan Barisan Nasional (BN), belajar daripada Pilihanraya Negeri (PRN) Johor, kali ini.

Bagi Zon Johor Timur, BN meletakkan sasaran untuk menang kesemua lapan kerusi yang ditandingi.

Daripada lapan kerusi itu, BN menang di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tenggaroh, Sedili, Johor Lama, Panti, Pasir Raja, Penawar dan Tanjung Surat.



Hanya kerusi DUN Endau yang gagal dirampas kembali.

Di semua kerusi yang ditandingi itu, BN meletakkan calon pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

Hanya di kerusi DUN Panti dan Pasir Raja serta Tenggaroh, yang dikekalkan penyandangnya, manakala kerusi di DUN lain adalah muka baru.

Ketiga-tiganya dikekalkan BN berikutan menampilkan rekod pencapaian yang terbaik sepanjang berkhidmat di DUN masing-masing sebelum ini.



Raven Kumar Krishnasamy, menang buat kali ketiga berturut-turut di DUN Tenggaroh, hasil kerja kerasnya dan sokongan daripada jentera yang dibentuk bertahun-tahun.

Rasyidah Ismail di Pasir Raja dan Hahasrin Hashim di Panti juga tampil dengan rekod terbaik.

Rekod pencapaian terbaik juga menjadi modal Alwiyah Talib, calon Perikatan Nasional (PN), menawan pengundi di DUN Endau.

Biarpun Alwiyah melompat ke parti Bersatu selepas menang atas tiket BN pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 hingga menyebabkan penyokong UMNO dan BN marah, isu itu berjaya ditanganinya dengan khidmat terbaik yang diberikan di DUN berkenaan.



Menyaksikan senario ini, empat penyandang berjaya mempertahan kerusi masing-masing hasil rekod pencapaian terbaik yang diberikan kepada pengundi.

Tanpa mengira bangsa dan parti, pengundi mahukan Yang Berhormat yang mewakili kawasan mereka memenuhi janji yang ditabur semasa kempen.

Mereka mahukan jaminan supaya Yang Berhormat di kawasan mereka itu akan bekerja keras untuk memenuhi tuntutan mereka.

Empat Yang Berhormat yang baru menang pada PRN kali ini, berdepan cabaran bermula pada detik kemenangan mereka hinggalah pilihan raya negeri akan datang.



Rekod pencapaian menjadi rujukan pengundi ketika ini, tanpa mengira parti dan bangsa.

Pengundi mahukan sebuah kerajaan negeri yang stabil, dan ia ditambah rencahnya dengan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang lima tahun ini. – my-tv online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button