Peniaga bazar Ramadan perlu lengkap imunisasi tifoid

KUALA TERENGGANU: Penganjur bazar Ramadan digesa memastikan semua pengendali dan pekerja gerai makanan mendapatkan suntikan imunisasi tifoid.

Selain itu, penganjur juga diminta memastikan semua peniaga makanan mengikuti kursus pengendalian makanan dianjurkan Jabatan Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Anuar Abd Rahman, berkata imunisasi tifoid bukan sahaja dihadkan kepada pengendali makanan dan peniaga, malah pekerja di bazar Ramadan juga diwajibkan mengambil suntikan imunisasi tifoid.

“Kita akan memastikan semua makanan yang dijual di tapak bazar Ramadan selamat dimakan dan tidak dicemari dengan pelbagai virus yang boleh menjejaskan kesihatan pelanggan.

“Kita tidak akan berkompromi, terutama membabitkan keselamatan makanan. Peniaga dan pekerja yang menjual pelbagai juadah di bazar Ramadan akan dikenakan tindakan jika didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong merasmikan penutupan operasi bersepadu premis makanan bersih peringkat negeri di Klinik Kesihatan Chendering, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Che Ghani Sidek serta Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr Fatimah Muda.

Dr Mohd Anuar berkata, pengendali, peniaga dan pekerja juga perlu lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) akan berkerjasama dengan PBT untuk melakukan pemantauan di semua tapak bazar Ramadan terutama membabitkan gerai jualan makanan.

“Pengendali, peniaga dan pekerja di tapak bazar Ramadan yang tidak mematuhi peraturan termasuk tidak memakai apron dan sarung tangan akan dikenakan tindakan di bawah peraturan kebersihan makanan 2009,” katanya.

Mengenai kempen kesedaran kepada pengendali makanan yang biasanya dianjurkan di tapak bazar Ramadan, Dr Mohd Anuar berkata, kerajaan sudah membuat ketetapan tiada penganjuran kempen diadakan bagi mengelakkan berlakunya keadaan sesak.

Katanya, penganjur bazar Ramadan juga diminta mengehadkan kemasukan pengunjung selain perlu memastikan pengendali, peniaga dan pekerja sentiasa memakai pelitup hidung serta mulut.

Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker