Serangan pro Muhyiddin terhadap Zahid, Najib & Tok Mat
Oleh – Bakhtiar Omar
Seawal hari perasmian Persidangan Agung UMNO 2021-PAU2021, serangan dari pemimpin UMNO pro-Muhyiddin terhadap Zahid, Najib dan Tok Mat telah dijangkakan.
Perancangan mereka yang telah lama dihidu mula menampakkan belang apabila ucapan perasmian mesyuarat sayap UMNO disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.
Perselisihan pemikiran dalam mengupas ucapan Tok Mat menjadi garis panduan bagi mengenal pasti pemimpin yang hanya ‘bersarung’ UMNO tetapi dalam masa sama makin mahu ‘bersama’ Muhyiddin Yassin yang dikatakan sangat berpengaruh terhadap mereka.
Ucapan dari pemimpin sayap UMNO yang lantang terus meresahkan pro-Muhyiddin yang mehu berkompromi dengan Presiden PPBM dalam usaha menyelamatkan jawatan mereka dengan harapan tiada penarikan sokongan yang membolehkan parlimen dibubarkan.
Gesaan bertalu untuk UMNO mendesak pembubaran parlimen mewarnai perbahasan perwakilan UMNO berikutan kejayaan PRN Melaka dan PRN Johor.
Apa yang menjadi kegusaran pemimpin pro-Muhyiddin? Adakah mereka menjangkakan hayat politik mereka bakal berkubur jika berlaku pembubaran parlimen dalam tempoh terdekat kerana selama ini ‘berkiblatkan’ Muhyiddin berbanding UMNO itu sendiri?
Pemimpin seperti ini seharusnya dihalau keluar dari UMNO kerana mereka akan menjadi ‘api dalam sekam’ kepada UMNO itu sendiri.
Hari ini ahli UMNO akan dapat melihat dengan lebih jelas siapakah kalangan pemimpin UMNO yang benar-benar akan ‘sehidup-semati’ dengan UMNO atau menanti masa melompat kapal.
Menurut beberapa sumber, malam tadi berlangsungnya acara ‘ketuk pintu’ para perwakilan dan disertakan dengan ‘hadiah’ untuk mempengaruhi perwakilan bagi mengubah keputusan 180 Bahagian UMNO yang mahu Pilihanraya Umum diadakan sebelum pemilihan UMNO berlangsung.
Siapa pemimpin UMNO yang mempunyai ‘rezab’ besar setaraf Ahmad Albab hingga mampu berbuat demikian? Mungkinkah akan ada perwakilan yang akan membongkarkan wajah pemimpin tersebut?