Zul Ariffin buat permohonan maaf, akan lebih berhati-hati muat naik bahan promosi selepas ini
Selepas teruk dikecam gara-gara memuat video babak panasnya bersama seorang pelakon baharu, Zul Ariffin akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Instagramnya pada Isnin
Menerusi entri di Instagram Story, Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 36, dia memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan tindakannya memuat naik video berkenaan.
“Dengan hati terbuka, saya ambil maklum di atas semua respons dari banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini.
“Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuat naik video berkenaan.
“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk memuat naik sebarang bahan yang diberikan kepada saya untuk dipromosikan di media sosial,” ujarnya.
Zul memuat naik video tersebut di Instagramnya pada Jumaat malam sehingga ia menjadi tular kerana rata-rata netizen mengecam tindakannya yang melakonkan adegan sedemikian.
Video itu turut menarik perhatian ramai termasuk daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang turut menegur perkara tersebut.
Difahamkan babak aksi panas itu merupakan sedutan daripada drama bersiri terbaharu lakonan Zul berjudul Perempuan Itu yang bakal ditayangkan pada bulan Ramadan ini.
Namun, menurut pengarahnya, Ain Sharif babak tersebut tidak akan dimasukkan ke dalam drama tersebut sebaliknya hanya digunakan untuk tujuan promosi naskhah berkenaan. – my-tv online