Diserang kera di halaman, seorang kanak-kanak cedera

 

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera pada tangan dan kaki akibat diserang seekor kera di halaman rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku ketika Muhammad Umar Ziyad Zaharudin, berjalan pulang dari rumah ibu saudaranya yang terletak bersebelahan kediaman keluarganya, kira-kira jam 6.55 petang.

Ibu mangsa, Suzilawati Ismail, 39, berkata terdahulu dia dan anaknya berada di rumah sebelah, namun Umar meminta izin pulang lebih awal sebelum tiba-tiba anaknya itu didengar menjerit.

“Saya berlari turun dari rumah kakak dan melihat seekor kera sedang memaut betis Umar yang ketika itu terloncat-loncat cuba melepaskan gigitan binatang terbabit sambil meraung kesakitan.

“Suami saya yang berada di rumah segera keluar untuk membantu Umar sebelum kera terbabit melarikan diri,” katanya.

Kejadian itu, katanya menyebabkan tangan dan kaki Umar berlumuran darah dengan kesan koyak akibat gigitan pada kaki agak besar dan agak dalam.

“Saya segera membalut luka pada tangan dan kaki Umar menggunakan kain sebelum suami membawanya ke Hospital Dungun. Umar bagaimanapun dihantar ke Hospital Kemaman berikutan luka koyakannya dalam sehingga paras tulang.

“Umar terpaksa menjalani pembedahan bagi mencantumkan semula kulit dan isi kakinya yang koyak itu,” katanya.

Suzilawati berkata, kera terbabit milik penduduk di kampung sama dan ia dikatakan melarikan diri selepas terlepas daripada tali ikatan.

“Umar sepatutnya memulakan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abang, namun terpaksa menangguhkan pembelajaran akibat kecederaan itu.

“Biarpun lukanya agak serius, saya bersyukur dia selamat,” katanya yang mengesahkan sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Dungun.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button