Empat daerah di Sabah keluar zon merah

 

Empat daerah di pantai timur Sabah keluar daripada zon merah COVID-19, selepas merekodkan penurunan kes aktif semalam.

Daripada empat daerah terbabit, satu daerah iaitu Semporna kini berada dalam zon kuning, manakala tiga daerah iaitu Kunak, Kalabakan dan Tongod dalam zon jingga.

Daerah Semporna tidak merekodkan sebarang kes baharu sejak 16 Mac lalu, manakala Kunak, Kalabakan dan Tongod mencatat turun naik kes antara satu ke dua kes dengan masing-masing hanya mencatat satu kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak 23 daerah lagi kekal dalam zon merah, namun secara purata catatan kes harian menunjukkan penurunan.

“Sebanyak 14 daerah mencatat kes baharu dua angka, 12 daerah merekodkan kes satu angka, manakala Semporna satu-satunya daerah yang tidak mencatat sebarang kes baharu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 388 kes baharu COVID-19 semalam dengan penurunan 14 kes berbanding 402 kes yang direkodkan kelmarin.

Tiga kes kematian turut direkodkan semalam, masing-masing satu kes di Beaufort, Tenom dan Sandakan, sama seperti jumlah kes kematian yang dilaporkan kelmarin.

Sementara itu, seramai 484 pesakit COVID-19 di Sabah masih menerima rawatan dengan 44 orang memerlukan penjagaan kritikal.

Masidi berkata, daerah Kota Kinabalu yang mencatat kes tiga angka sejak lebih sebulan lalu turut keluar daripada zon tiga angka apabila jumlah kes harian susut 28 kes kepada 91 kes baharu semalam.

“Peratusan jangkitan sporadik susut sedikit tetapi masih tinggi pada kadar 55.15 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini (semalam).

“Jangkitan sporadik adalah kategori utama jangkitan yang menyebabkan perebakan virus COVID-19 di 19 daripada 27 daerah di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 386 atau 99.48 peratus daripada 388 kes semalam berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala tiada kes dalam Kategori 3 dan 5, diikuti dua kes dalam Kategori 4.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker