Cuaca panas dijangka berlarutan hingga Julai

Oleh – Syeikh Baran


Cuaca panas dijangka berlarutan hingga Julai
Nik Nazmi (dua dari kanan) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Madani di Kampung Aril, Melor, Kota Bharu hari ini. -Foto ROSMIZAN RESDI/KOSMO!

Negara dijangka akan terus berdepan dengan cuaca panas sehingga Julai depan susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, situasi itu menyaksikan beberapa kawasan terutamanya Kelantan, Perlis dan Kedah akan berdepan dengan keadaan tersebut.



“Ada ramalan yang mengatakan tahun ini adalah paling panas selepas 1998. Jika ikut trend biasa, fasa ini akan mula beralih tidak lama lagi. Mungkin hujan akan mula turun dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.

“Bagaimanapun, keadaan ini mungkin akan berubah. Kita akan melihat laporan terkini Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dari masa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Madani di Kampung Aril, Melor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi memberitahu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) untuk memantau paras air dan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sekiranya perlu.

Katanya, setakat ini, pihaknya ada menerima permintaan daripada kerajaan negeri Kelantan dan syarikat air untuk melaksanakan pembenihan awan.



“Keputusan untuk pembenihan awan ini tidak boleh dilakukan sesuka hati. Ia memerlukan panduan dan nasihat MetMalaysia serta kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kita juga perlu melihat kepada keadaan yang sesuai daripada aspek awan selain memenuhi syarat lain yang ditetapkan sebelum pembenihan awan dilakukan”katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengikuti saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan terutamanya membabitkan aktiviti di luar yang terdedah dengan cuaca panas.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button