‘Sangat bangga dengan awak’ – Eyka Farhana puji Akhyar Rashid

Kuala Lumpur: Aksi memukau pemain sayap negara, Akhyar Rashid yang menarik perhatian jutaan peminat bola sepak tempatan sebenarnya turut mendapat pujian dari pelakon cantik molek, Eyka Farhana.

Eyka yang dikaitkan menjalin cinta dengan Akhyar, mengucapkan tahniah di atas kemenangan skuad Harimau Malaya yang berjaya menewaskan pasukan Filipina dengan 2-0 dalam aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi.

Paling mengujakan, sudah pastinya kemenangan ke atas pasukan di ranking 129 dunia itu adalah hasil sumbangan dua jaringan Akhyar pada babak pertama sekaligus membanggakan Eyka.

“Tahniah. Sangat bangga dengan awak,” tulis Eyka di laman story Instagramnya berserta emoji ‘love’ yang mungkin menandakan yang sememangnya mereka berdua sedang dilamun cinta.

Terdahulu, hubungan Eyka dan Akhyar mula dihidu apabila menerima kejutan sambutan hari lahir ke-25 dua tahun lalu.

Namun Eyka enggan terlalu terbuka berbicara soal cinta, namun mengakui menyenangi karakter Akhyar yang disifatkan kelakar, baik hati dan mementingkan keluarga.

Selepas ini, skuad negara akan menentang Singapura dalam aksi terakhir pada Sabtu ini sebelum mengakhiri saingan Siri Tiga Negara di venue yang sama.

Begitupun, pasukan negara akan terus kekal berada di Kota Singa sehingga Isnin depan selepas Pan-gon menambah satu lagi perlawanan tertutup membabitkan pertemuan dengan kelab Liga Singapura, Albirex Niigata di Stadium Jalan Besar bagi memberi peluang buatnya menilai prestasi kesemua 25 pemain.

Tiga aksi itu sebenarnya sebagai persiapan menghadapi ujian sebenar pada Jun ini, di mana Malaysia akan mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

Harian Metro

Leave a Reply