Elica Paujin juara Big Stage 2022

 

Beban emosi dan penghayatan jitu dalam persembahan Elica Paujin ketika mendendangkan lagu Cinta nyanyian asal, Marsha Milan di pentas akhir Big Stage 2022 di sini, malam tadi, memberi kelebihan kepada gadis Sabah itu untuk diangkat sebagai juara.

Menewaskan empat peserta lain, Elica meraih hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi.

Selain lagu Cinta, Elica yang dianggap antara peserta konsisten, tampil bersama Hael Husaini mendendangkan lagu Believer pada pentas akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Tempat kedua dimenangi seorang lagi peserta berasal dari Sabah, Danial Chuer manakala tempat ketiga milik Aisha Retno.

Yazmin Aziz pula diumum meraih tempat keempat diikuti Tegar Septian di tempat kelima.

Danial membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi manakala Aisha wang tunai RM25,000 serta trofi.



Menitiskan air mata di pentas, Elica sangat terharu dan berterima kasih kepada semua pihak atas kejayaannya.

“Syukur kepada Tuhan atas rezeki yang diberi. Terima kasih kepada abang Ajai dan Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana beri banyak ilmu kepada saya.

“Juga ucapan terima kasih kepada peminat, ibu bapa dan Astro kerana memberi peluang kepada saya menyertai Big Stage 2022,” katanya.

Pada edisi keempat program realiti itu, Siti dan Ajai menduduki kerusi juri tetap dan Datuk Seri Vida bertindak sebagai Presiden Netizen.

Juri Juara pada minggu ini adalah Aliff Aziz manakala Juri Pedas, Elly Mazlein serta juri jemputan, Aina Abdul. Big Stage 2022 dihoskan Alif Satar dan Sherry Alhadad.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker