KPDNHEP pantau harga makanan bazar Ramadan

KUALA TERENGGANU – Lebih 2,200 penguat kuasa dan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan pemantauan di bazar Ramadan seluruh negara susulan jangkaan berlakunya kenaikan harga makanan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, kenaikan harga makanan mungkin tidak boleh dielak berikutan perubahan harga bahan mentah di pasaran, namun menjadi satu kesalahan sekiranya keuntungan yang diambil terlampau tinggi.

“Peniaga mungkin akan melakukan perubahan harga jual untuk menampung kos dan jika kita terima aduan harga makanan dijual melampau dan tidak munasabah, kita akan lakukan siasatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Apresiasi Kepenggunaan bersama Media Terengganu di Hotel Paya Bunga, di sini pada malam Ahad.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu mengulas laporan mengenai harga makanan yang dijual di bazar Ramadan dijangka meningkat antara 20 hingga 30 peratus bagi menampung kos peningkatan harga bahan mentah.

Menurut Rosol, kenaikan harga perlu setara dengan peningkatan kos di peringkat pengeluar, pemborong, pengedar, peruncit dan ia tidak boleh melebihi daripada kadar sepatutnya, namun sekiranya berlaku KPDNHEP boleh melakukan siasatan secara menyeluruh.

“Jika dari pemborong kepada peniaga peningkatan hanya 10 peratus, tidak patutlah peniaga kenakan kenaikan kepada pengguna sehingga 30 peratus,” katanya.



Oleh itu beliau berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh penguat kuasa dengan dibantu pegawai pemantau harga bagi memastikan harga makanan dijual di bazar Ramadan adalah munasabah dan berpatutan.

Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button